Monday, December 31, 2007

Liga M: 'Kedah belum pamer bisa sebenar'

Oleh Bashah Zainol Abidin
SEANDAINYA anda merasakan Kedah sudah mempamerkan prestasi terbaik selepas membenamkan Selangor 6-2, kenyataan pengurus pasukan, Datuk Othman Aziz bahawa itu bukan yang terbaik daripada buahnya, pasti mengundang rasa gerun lawan. Katanya, walaupun mencatat keputusan di luar dugaan, pemain Kedah masih belum mencapai prestasi pada tahap kemampuan sebenar mereka. “Saya memang teruja dan tidak tahu apa yang nak dikatakan ketika wisel dibunyikan setelah selepas berjaya mengatasi Selangor 6-2, lawan yang belum kalah yang hadir sebagai pendahulu Liga Super.
"Prestasi cemerlang yang dipamerkan anak buah saya meyakinkan saya yang keputusan mengatasi Selangor dengan jaringan adalah wajar. “Tapi, ini bukan prestasi terbaik pemain saya kerana masih belum mencapai tahap kemampuan sebenar mereka,” katanya. Othman turut berkata, kekalahan yang tidak dijangka kepada Terengganu minggu lalu, menyemarakkan semangat setiap pemainnya untuk bangkit menentang Selangor.
“Saya harap anak buah saya dapat mengekalkan rentak permainan cemerlang mereka seperti yang dipamerkan semalam (kelmarin) pada perlawanan seterusnya bertemu DPPM Brunei di Bandar Seri Begawan, Selasa ini,” katanya. Beliau berkata, kombinasi serangan Marlon Alex James dan Hasmawi Hassan yang berjaya menjaringkan tiga gol daripada enam yang dihasilkan kelmarin, membuktikan mereka masih berbisa untuk menghancurkan pertahanan lawan. “Kekalahan kepada Terengganu membawa rahmat kepada pasukan dengan memastikan setiap pemain beraksi dengan kesungguhan bagi mencapai kemenangan.

No comments: