Monday, August 25, 2008





Tuesday, July 15, 2008

Perjuangan dikagumi TINGGAL KENANGAN...

Perjuangan dikagumi
Oleh Lokman Zainal Abidin dan Bashah Zainal Abidinam@hmetro.com.my

TINGGAL KENANGAN...Ahmad Basri (kiri) memberi penerangan kepada wartawan di Wisma FAM sambil disaksikan Datuk Taha Arifin (tengah) dan Datuk Paul Mony.
GAYA, idea serta ketrampilan yang dimiliki Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd Akil kini hanya tinggal kenangan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengakui arena bola sepak negara kehilangan sebutir bintang yang cukup bersinar.Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, Malaysia kehilangan seorang tokoh yang banyak berjasa, terutama kepada pembangunan bola sepak Kedah dan negara.“Allahyarham memiliki gaya dan idea tersendiri dalam memimpin pasukan mahupun persatuan. Di FAM, Allahyarham dikenang selaku bekas naib presiden dan juga pengurus pasukan Sukan Sea 1989.“Secara peribadi, saya bukanlah terlalu rapat dengan Allahyarham dan hanya mengenalinya ketika saya berada di dalam Jawatankuasa Disiplin FAM sekitar awal 2000. Tetapi perkenalan singkat itu cukup untuk saya mengagumi ketokohannya.
“FAM mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, khususnya dan warga bola sepak Kedah, amnya,” katanya.
Kehilangan Allahyarham Ahmad Basri turut dirasai bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Ibrahim Saad yang turut sedih dengan pemergian tokoh yang banyak memberikan sumbangan kepada bola sepak negara itu.“Beliau seorang tokoh yang berani dan tidak gentar untuk menyuarakan pendapatnya. Walaupun sedar cadangannya itu mungkin tidak dapat dilaksanakan, tetapi demi memperjuangkan bola sepak, beliau tidak bimbang dikritik.“Secara peribadi saya memang mengagumi beliau dan saya mahu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham,” katanya. Ketua jurulatih pasukan Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah menganggap kehilangan Ahmad Basri, 69, yang meninggal dunia jam 3 petang semalam selepas diserang sakit jantung sebagai bukan saja kehilangan buat negeri Jelapang Padi, malah negara. “Basri seorang tokoh bola sepak dalam erti kata sebenar kerana kesungguhan dan dedikasinya selama hayatnya kepada pembangunan sukan itu, baik di Kedah mahupun Malaysia. Kejayaan pasukan Kedah ketika ini adalah daripada usaha beliau yang merangka pelan pembangunan konkrit.“Allahyarham yang bertanggungjawab membawa saya dan juga mendapatkan khidmat pembantu saya Radhi Mat Din serta Ahmad Sobri Ismail hingga kami berjaya menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim lalu, Malah, musim ini kami juga berjaya menjuarai liga dan Piala FA. Tanpa buah fikirannya, sudah pasti kejayaan yang dinikmati sukar menjadi kenyataan,” katanya.Sementara itu, penolong jurulatih Kedah, Radhi yang pernah beraksi bersama skuad Hijau Kuning ketika di bawah pengurusan Basri, berkata mereka pernah menaruh harapan untuk Allahyarham kembali membimbing pasukan Kedah semula selepas tamat tempoh pergantungan.“Tapi, kini segala-galanya sudah berakhir. Begitupun perjuangan Basri dalam mengharumkan nama Kedah akan diteruskan. Semua pegawai pasukan serta barisan pemain Kedah mempunyai tanggungjawab untuk memastikan cita-cita Basri meletakkan pasukan negeri dalam kelompok elit di Malaysia dan juga Asia, menjadi kenyataan.

Tersandar pada tiang lobi istana

Tersandar pada tiang lobi istana
Oleh RiadzRadziriadz@hmetro.com.my.

ALOR STAR: “Saya nampak beliau tersandar pada tiang dalam keadaan sesak nafas,” kata pemandu orang kenamaan, Abdul Hamid Taha, 52, ketika menceritakan detik sebelum Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd Akil, 69, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung, semalam.Katanya, arwah ketika itu baru turun dari keretanya kira-kira jam 2.15 petang di Istana Anak Bukit di sini, untuk menghadiri majlis pelancaran Stem Kenang-Kenangan sempena sambutan Jubli Emas pemerintahan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.“Ketika berjalan dari tempat letak kereta, saya terserempak dengan arwah yang tersandar pada tiang di lobi istana,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, semalam.Abdul Hamid kemudian bersama seorang rakannya yang dikenali sebagai Rosli, memapah Ahmad Basri ke kereta dan membawanya ke hospital.
Doktor mengesahkan Ahmad Basri yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital kira-kira jam 2.30 petang.
Sultan Abdul Halim dan Sultanah Haminah Hamidun yang menerima berita mengejutkan itu turut berangkat ke HSB kira-kira jam 4.10 petang. Turut berangkat Raja Muda, Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah.Baginda bertiga meluangkan masa kira-kira 15 minit menziarahi jenazah Allahyarham.Isteri Allahyarham, Datin Wan Chik @ Balkis Wan Bain, 63, ketika ditemui, berkata selama ini, Allahyarham yang juga bekas pengurus pasukan bola sepak Kedah tidak pernah mengadu sakit dan tidak pernah dimasukkan ke hospital.“Dia sentiasa nampak sihat, tambahan pula dia rajin bermain golf. Kali terakhir saya menghubunginya ialah pada Khamis lalu untuk meminta izin bagi menziarahi kematian. Dia juga tidak menunjukkan sebarang tanda dan hanya bersikap seperti biasa,” katanya.Selain Wan Chik, Allahyarham meninggalkan isteri keduanya, Tengku Zainab Tengku Zainon, 36, serta tujuh anak dan sembilan cucu.Jenazah Allahyarhan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alor Merah, dekat sini, semalam.Sementara itu, ketua jurulatih pasukan bola sepak Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah, menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada sukan bola sepak Kedah dan negara.“Allahyarham yang bertanggungjawab membawa saya ke dalam Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA). Kehilangannya tentu amat dirasai kerana Allahyarham adalah individu penting dalam membangunkan bola sepak di Kedah,” katanya ketika ditemui, semalam. Penolong jurulatih, Radhi Mat Din pula menganggap Allahyarham seperti bapanya sendiri kerana sebahagian besar kerjayanya sebagai pemain adalah di bawah pengurusan Ahmad Basri.“Saya banyak belajar daripada arwah terutama dari segi pengurusan dan pentadbiran bola sepak. Arwah juga adalah seorang pengurus yang mudah didekati dan amat disenangi pemain dan penyokong,” katanya yang juga bekas ketua pasukan Kedah.Sebagai pengurus, Ahmad Basri bertanggungjawab membawa Kedah menjulang Piala Malaysia buat pertama kali pada 1990 dan mengulanginya sekali lagi pada 1993.Pada tahun sama Allahyarham turut membawa Kedah menjuarai Liga Perdana serta memenangi Piala FA pada 1996.Ahmad Basri juga pernah menjadi pengurus pasukan kebangsaan dan membawa Malaysia memenangi pingat emas dalam Sukan Sea di Kuala Lumpur pada 1989.

Belasungkawa: Ahmad Basri ikon bola sepak

Belasungkawa: Ahmad Basri ikon bola sepak
Oleh Ahmad Khawari Isa (berita harian)

Pingat emas Sukan Sea 1989 peninggalan terakhir untuk Malaysia BAIT pembuka lagu 'Biar Jasa Jadi Kenangan' - lagu menunjangi setiap cabaran aksi skuad Kedah - cukup jadi gambaran wibawa dimiliki penulis liriknya, Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil. Berita kepulangan Allahyarham ke rahmatullah, petang semalam, hadir jelas sebagai kejutan. Kerana selama lebih dua dekad sebelumnya, kelibat dan wajah hitam manis miliknya diakui begitu sinonim dengan bola sepak negara.
Sayanginya - itulah rasa dikongsi ratusan ribu warga negeri Jelapang Padi yang berbangga apabila penantian sekian lama buat merangkul Piala Malaysia jadi kenyataan julung kalinya, 18 tahun lalu. Ada juga yang pernah membenci, terutama mereka yang sesekali jadi mangsa kelantangan kecamannya. Tetapi seperkara pasti, Allahyarham adalah tokoh sukan yang kini wajar diingati dengan penuh rasa disegani. Allahyarham bukan pemain bagus, tetapi peminat yang setia. "Saya suka bermain bola sepak, tetapi bukannya bagus. Tetapi saya cintakan sukan ini dan tidak pernah mahu menyisihkan diri daripadanya," katanya suatu ketika dahulu.
Penghormatan selaku 'Bapa Pembangunan Bola Sepak Kedah' memang paling layak miliknya. Menerusi visinya, Hijau Kuning bangkit untuk kini berdiri sama tinggi dalam kelompok barisan gergasi. Satu bukti pengorbanan Allahyarham, yang tidak pernah dicanangkan, ialah kesediaan meletakkan kebajikan pemainnya selaku agenda utama - terbukti menerusi kesanggupan mengambil pinjaman peribadi pada hampir setiap hujung musim demi memastikan gaji pemain dibayar ketika sedar wang geran dan penajaan sering terlewat. Malah sehingga kini, Allahyarham kekal dengan pengiktirafan selaku pengurus skuad negara terakhir mencipta bangga apabila memimpin pasukan memenangi pingat emas Sukan Sea - pencapaian diraih di Stadium Merdeka pada 1989. Allahyarham juga menginspirasikan plan dasar pembangunan belia - ketika mempengerusikan Jawatankuasa Belia Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) - yang menyaksikan mula kewujudan akademi bola sepak di setiap negeri.
Perwatakan mesranya, selain sikap merendah diri, diakui jadi kunci kemampuan Allahyarham mudah bergaul di segenap lapisan masyarakat. Juga, gigih sentiasa bekerja keras dan tidak mudah mengalah - ramuan turut membutirkan kejayaan dalam pelbagai bidang dijelajahinya. Daripada hanya Penolong Pegawai Daerah Langkawi pada awal 1960-an, Allahyarham mendaki laluan yang dicambahkannya dengan lorekan pencapaian gemilang untuk bersara selaku Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah pada pertengahan 1990-an. Selain Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, dan pengurus paling lama skuad negeri itu, Allahyarham juga pernah sepenggal berbakti selaku Naib Presiden FAM daripada 1996 hingga 1998. Namun bukan bola sepak sahaja bertuah merasai jasanya. Allahyarham juga pernah membuktikan wibawa sepanjang tempoh memimpin persatuan olahraga, renang, skuasy dan bowling negeri itu. Tidak ramai juga yang tahu betapa Allahyarham, dengan bakat melukis dimilikinya, pernah juga dipilih selaku Presiden Angkatan Pelukis Kedah. Jasanya juga ketara ketika memimpin Persatuan Bulan Sabit Merah Kedah. Allahyarham juga punya hubungan rapat dengan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah - peminat bola sepak nombor satu Kedah. Lantas, di sebalik kesedihan, tidak salah menyifatkan pemergiannya pada ketika menghadiri majlis di Istana Anak Bukit, petang semalam, jelas tempat terbaik melambangkan keakraban hubungan itu. Semoga roh Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil, 69 tahun pada 25 April lalu, dicucuri rahmat oleh Yang Esa. Al Fatihah.

Sunday, March 30, 2008

Marlon, Hasmawi rencah Hijau Kuning

Marlon, Hasmawi rencah Hijau Kuning
Oleh Bashah Zainol Abidin (BERITA HARIAN 30 MAC 2008)
GANDINGAN penyerang kembar - Marlon Alex James (gambar) dan Hasmawi Hassan - akan menjadi rencah utama lakaran ketua jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah untuk tampil merobek gawang Brunei dalam saingan Liga Super di Stadium Darulaman, malam ini. Mereka adalah harapan kepada sorakan ribuan penyokong Hijau Kuning selepas tonggak utama, ketua pasukan, A Victor, Khyril Muhymeen, Ahmad Fauzi Shaari tidak dapat beraksi gara-gara kecederaan yang mungkin menyisihkan mereka pada empat perlawanan berikut. “Saya terpaksa melupakan khidmat Khyril, Victor dan Fauzi kerana kecederaan, begitu juga pemain pertahanan Zafizan (Hashim) selepas pemain ini menerima kad kuning ketiganya pada perlawanan lalu bertemu Perak di Stadium Darulaman.
“Perlawanan yang padat tidak memberi banyak pilihan kepada saya selain terpaksa menggunakan semua pemain yang didaftarkan bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). “Kini kita tiada pilihan kecuali memastikan tiga mata penuh pada setiap perlawanan dilalui bermula esok (malam ini) ketika bertemu Brunei. Apa yang melegakan penyerang muda yang baru diserapkan seperti Fadly (Baharon) sudah mula serasi dengan permainan rakan sepasukan,” kata Azraai. Katanya, Fadly bukan sahaja sudah beraksi dengan baik malah tiga jaringan pada dua perlawanan lalu ketika bertemu Perak (satu) dan Sarawak (dua) pasti dapat menambah keyakinan diri.
“Kini kita bukan sahaja bolah mengharapkan Marlon, Hasmawi atau pun Badrul Bakhtiar untuk mendapatkan gol tetapi Fadly juga sudah mampu melakukannya dan ini melegakan saya dan juga pengurusan pasukan. "Selepas pertemuan dengan Brunei esok (malam ini) kita akan bertolak ke Hongkong dan sekembalinya dari sana kita akan bertemu Selangor pada 5 April serta Melaka pada 8 April dan. Selepas itu baru kita akan pulang ke Alor Star,” kata Azraai.