Tuesday, December 4, 2007

Selangor kena belasah

Oleh Bashah Zainol Abidin dan Kamudin Baharom (petikan dr:BERITA HARIAN)
Gagal kekang asakan Hijau Kuning di gelanggang pasukan lawan KEDAH menepati ramalan untuk bangkit apabila membelasah Selangor 6-2 di Stadium Darulaman malam tadi, sekali gus melonjak semula ke tangga teratas carta Liga Super dan menyingkirkan Selangor ke tangga ketiga. Terengganu mengikuti rentak cemerlang apabila turut mencipta kemenangan di gelanggang keramat Perlis 1-0 untuk mengisi tangga kedua.
Kedah yang bungkam kepada Terengganu 1-3 dalam perlawanan lalu, menguasai permainan sebaik bermula dan membuka jaringan seawal minit ke-13 menerusi tandukan Kyril Muhymeen Zambri yang menyudahkan hantaran silang Nelson Sam Martin. Dua minit kemudian, Kedah menambah gol kedua menerusi tandukan Cornelius Hugging, hasil sepakan percuma Martin. Merah Kuning bagaimanapun merapatkan jurang menerusi sepakan penalti Frank Seator pada minit ke-23 tetapi tuan rumah pantas kembali selesa di depan menerusi Marlon Alex James pada minit ke-34 tetapi Evans Chisulo kembali merapatkan jurang empat minit kemudian.

Pada babak kedua, barisan Dollah Salleh cuba bangkit tetapi jaringan penyerang muda kedah, Badrul Bakhtiar empat minit selepas permainan bersambung menyaksikan penguasaan penuh Hijau Kuning di depan lebih 30,000 penonton sendiri. Sepuluh minit terakhir perlawanan menyaksikan Kedah menambah jaringan menerusi Hasmawi Hassan (m-83) dan gol kedua Marlon tiga minit sebelum tamat. Di Stadium Utama Negeri di Kangar, Terengganu meneruskan persembahan bersemangat untuk menang tipis 1-0 ke atas Perlis. Perlis yang cuba mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini, hampir membolosi gawang pelawat seawal minit pertama tetapi hantaran lintang Mohd Redzuan Othman gagal dimanfaatkan Mohd Badrul Azam Zamri.
Kegagalan tuan rumah itu membolehkan Terengganu bangkit memburu gol awal dan pada minit kelima, rembatan jarak 10 meter pemain import, Glesson Freire gagal ditangkap kemas penjaga gol Perlis, Mohd Yusof Ishak. Pada babak kedua, Perlis menggandakan asakan tetapi Nizaruddin Yusof yang gagal memberi ancaman digantikan Rudie Ramli tetapi pertukaran itu masih gagal menembusi kecekapan penjaga gol Terengganu, Md Sarbini Alawe.

No comments: