Tuesday, July 15, 2008

Perjuangan dikagumi TINGGAL KENANGAN...

Perjuangan dikagumi
Oleh Lokman Zainal Abidin dan Bashah Zainal Abidinam@hmetro.com.my

TINGGAL KENANGAN...Ahmad Basri (kiri) memberi penerangan kepada wartawan di Wisma FAM sambil disaksikan Datuk Taha Arifin (tengah) dan Datuk Paul Mony.
GAYA, idea serta ketrampilan yang dimiliki Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd Akil kini hanya tinggal kenangan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengakui arena bola sepak negara kehilangan sebutir bintang yang cukup bersinar.Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, Malaysia kehilangan seorang tokoh yang banyak berjasa, terutama kepada pembangunan bola sepak Kedah dan negara.“Allahyarham memiliki gaya dan idea tersendiri dalam memimpin pasukan mahupun persatuan. Di FAM, Allahyarham dikenang selaku bekas naib presiden dan juga pengurus pasukan Sukan Sea 1989.“Secara peribadi, saya bukanlah terlalu rapat dengan Allahyarham dan hanya mengenalinya ketika saya berada di dalam Jawatankuasa Disiplin FAM sekitar awal 2000. Tetapi perkenalan singkat itu cukup untuk saya mengagumi ketokohannya.
“FAM mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, khususnya dan warga bola sepak Kedah, amnya,” katanya.
Kehilangan Allahyarham Ahmad Basri turut dirasai bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Ibrahim Saad yang turut sedih dengan pemergian tokoh yang banyak memberikan sumbangan kepada bola sepak negara itu.“Beliau seorang tokoh yang berani dan tidak gentar untuk menyuarakan pendapatnya. Walaupun sedar cadangannya itu mungkin tidak dapat dilaksanakan, tetapi demi memperjuangkan bola sepak, beliau tidak bimbang dikritik.“Secara peribadi saya memang mengagumi beliau dan saya mahu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham,” katanya. Ketua jurulatih pasukan Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah menganggap kehilangan Ahmad Basri, 69, yang meninggal dunia jam 3 petang semalam selepas diserang sakit jantung sebagai bukan saja kehilangan buat negeri Jelapang Padi, malah negara. “Basri seorang tokoh bola sepak dalam erti kata sebenar kerana kesungguhan dan dedikasinya selama hayatnya kepada pembangunan sukan itu, baik di Kedah mahupun Malaysia. Kejayaan pasukan Kedah ketika ini adalah daripada usaha beliau yang merangka pelan pembangunan konkrit.“Allahyarham yang bertanggungjawab membawa saya dan juga mendapatkan khidmat pembantu saya Radhi Mat Din serta Ahmad Sobri Ismail hingga kami berjaya menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim lalu, Malah, musim ini kami juga berjaya menjuarai liga dan Piala FA. Tanpa buah fikirannya, sudah pasti kejayaan yang dinikmati sukar menjadi kenyataan,” katanya.Sementara itu, penolong jurulatih Kedah, Radhi yang pernah beraksi bersama skuad Hijau Kuning ketika di bawah pengurusan Basri, berkata mereka pernah menaruh harapan untuk Allahyarham kembali membimbing pasukan Kedah semula selepas tamat tempoh pergantungan.“Tapi, kini segala-galanya sudah berakhir. Begitupun perjuangan Basri dalam mengharumkan nama Kedah akan diteruskan. Semua pegawai pasukan serta barisan pemain Kedah mempunyai tanggungjawab untuk memastikan cita-cita Basri meletakkan pasukan negeri dalam kelompok elit di Malaysia dan juga Asia, menjadi kenyataan.

No comments: