Tuesday, July 15, 2008

Tersandar pada tiang lobi istana

Tersandar pada tiang lobi istana
Oleh RiadzRadziriadz@hmetro.com.my.

ALOR STAR: “Saya nampak beliau tersandar pada tiang dalam keadaan sesak nafas,” kata pemandu orang kenamaan, Abdul Hamid Taha, 52, ketika menceritakan detik sebelum Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd Akil, 69, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung, semalam.Katanya, arwah ketika itu baru turun dari keretanya kira-kira jam 2.15 petang di Istana Anak Bukit di sini, untuk menghadiri majlis pelancaran Stem Kenang-Kenangan sempena sambutan Jubli Emas pemerintahan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.“Ketika berjalan dari tempat letak kereta, saya terserempak dengan arwah yang tersandar pada tiang di lobi istana,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, semalam.Abdul Hamid kemudian bersama seorang rakannya yang dikenali sebagai Rosli, memapah Ahmad Basri ke kereta dan membawanya ke hospital.
Doktor mengesahkan Ahmad Basri yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital kira-kira jam 2.30 petang.
Sultan Abdul Halim dan Sultanah Haminah Hamidun yang menerima berita mengejutkan itu turut berangkat ke HSB kira-kira jam 4.10 petang. Turut berangkat Raja Muda, Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah.Baginda bertiga meluangkan masa kira-kira 15 minit menziarahi jenazah Allahyarham.Isteri Allahyarham, Datin Wan Chik @ Balkis Wan Bain, 63, ketika ditemui, berkata selama ini, Allahyarham yang juga bekas pengurus pasukan bola sepak Kedah tidak pernah mengadu sakit dan tidak pernah dimasukkan ke hospital.“Dia sentiasa nampak sihat, tambahan pula dia rajin bermain golf. Kali terakhir saya menghubunginya ialah pada Khamis lalu untuk meminta izin bagi menziarahi kematian. Dia juga tidak menunjukkan sebarang tanda dan hanya bersikap seperti biasa,” katanya.Selain Wan Chik, Allahyarham meninggalkan isteri keduanya, Tengku Zainab Tengku Zainon, 36, serta tujuh anak dan sembilan cucu.Jenazah Allahyarhan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alor Merah, dekat sini, semalam.Sementara itu, ketua jurulatih pasukan bola sepak Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah, menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada sukan bola sepak Kedah dan negara.“Allahyarham yang bertanggungjawab membawa saya ke dalam Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA). Kehilangannya tentu amat dirasai kerana Allahyarham adalah individu penting dalam membangunkan bola sepak di Kedah,” katanya ketika ditemui, semalam. Penolong jurulatih, Radhi Mat Din pula menganggap Allahyarham seperti bapanya sendiri kerana sebahagian besar kerjayanya sebagai pemain adalah di bawah pengurusan Ahmad Basri.“Saya banyak belajar daripada arwah terutama dari segi pengurusan dan pentadbiran bola sepak. Arwah juga adalah seorang pengurus yang mudah didekati dan amat disenangi pemain dan penyokong,” katanya yang juga bekas ketua pasukan Kedah.Sebagai pengurus, Ahmad Basri bertanggungjawab membawa Kedah menjulang Piala Malaysia buat pertama kali pada 1990 dan mengulanginya sekali lagi pada 1993.Pada tahun sama Allahyarham turut membawa Kedah menjuarai Liga Perdana serta memenangi Piala FA pada 1996.Ahmad Basri juga pernah menjadi pengurus pasukan kebangsaan dan membawa Malaysia memenangi pingat emas dalam Sukan Sea di Kuala Lumpur pada 1989.

No comments: