Sunday, March 30, 2008

Marlon, Hasmawi rencah Hijau Kuning

Marlon, Hasmawi rencah Hijau Kuning
Oleh Bashah Zainol Abidin (BERITA HARIAN 30 MAC 2008)
GANDINGAN penyerang kembar - Marlon Alex James (gambar) dan Hasmawi Hassan - akan menjadi rencah utama lakaran ketua jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah untuk tampil merobek gawang Brunei dalam saingan Liga Super di Stadium Darulaman, malam ini. Mereka adalah harapan kepada sorakan ribuan penyokong Hijau Kuning selepas tonggak utama, ketua pasukan, A Victor, Khyril Muhymeen, Ahmad Fauzi Shaari tidak dapat beraksi gara-gara kecederaan yang mungkin menyisihkan mereka pada empat perlawanan berikut. “Saya terpaksa melupakan khidmat Khyril, Victor dan Fauzi kerana kecederaan, begitu juga pemain pertahanan Zafizan (Hashim) selepas pemain ini menerima kad kuning ketiganya pada perlawanan lalu bertemu Perak di Stadium Darulaman.
“Perlawanan yang padat tidak memberi banyak pilihan kepada saya selain terpaksa menggunakan semua pemain yang didaftarkan bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). “Kini kita tiada pilihan kecuali memastikan tiga mata penuh pada setiap perlawanan dilalui bermula esok (malam ini) ketika bertemu Brunei. Apa yang melegakan penyerang muda yang baru diserapkan seperti Fadly (Baharon) sudah mula serasi dengan permainan rakan sepasukan,” kata Azraai. Katanya, Fadly bukan sahaja sudah beraksi dengan baik malah tiga jaringan pada dua perlawanan lalu ketika bertemu Perak (satu) dan Sarawak (dua) pasti dapat menambah keyakinan diri.
“Kini kita bukan sahaja bolah mengharapkan Marlon, Hasmawi atau pun Badrul Bakhtiar untuk mendapatkan gol tetapi Fadly juga sudah mampu melakukannya dan ini melegakan saya dan juga pengurusan pasukan. "Selepas pertemuan dengan Brunei esok (malam ini) kita akan bertolak ke Hongkong dan sekembalinya dari sana kita akan bertemu Selangor pada 5 April serta Melaka pada 8 April dan. Selepas itu baru kita akan pulang ke Alor Star,” kata Azraai.

No comments: